Ketua Prodi Pedagogik FIP UPI berturut serta dalam kegiatan Peluncuran Jurnal Fakulti Pengajian Pendidikan UPM Malaysia

Ketua Prodi Pedagogik FIP UPI menerima apresiasi dari Timbalan Dekan FPP UPM - Dr. Faiq Abd Aziz ( Eviana Hikamudin )

Kamis, 23 Oktober 2025

Ketua Prodi Pedagogik FIP UPI berturut serta dalam kegiatan Peluncuran Jurnal Fakulti Pengajian Pendidikan UPM Malaysia

Dikutip dari berita Postingan Fakulti Pengajian Pendidikan UPM

https://www.facebook.com/educ.upm/posts/pfbid0frL6wpGjCAuFXDCWUN45iKdPT5RPErDJ7yR7natRowDgFX1YkkHLjqF9mkDGb9B9l

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN UPM PERKUKUH PERANAN SEBAGAI HAB KECEMERLANGAN PENDIDIKAN MELALUI PENERBITAN TUJUH JURNAL ILMIAH

Serdang, 22 Oktober 2025 – Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh peranannya sebagai hab kecemerlangan pendidikan apabila berjaya menerbitkan enam (6) jurnal ilmiah baharu serta mengekalkan satu (1) jurnal sedia ada sebagai platform penerbitan artikel penyelidikan berkualiti tinggi.

Inisiatif ini bertujuan menyediakan wadah penerbitan ilmiah yang lebih luas kepada para penyelidik dari dalam dan luar negara. Kesemua jurnal ini bakal memainkan peranan penting dalam mengetengahkan hasil penyelidikan berimpak tinggi dalam pelbagai bidang pendidikan, seterusnya memperkukuh kedudukan UPM sebagai institusi peneraju penyelidikan dan penyebaran ilmu di peringkat global.

Majlis peluncuran jurnal-jurnal ilmiah ini telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq bin Hameed Sultan, Pengarah Pusat Penerbit, UPM, bertempat di Ballroom Fakulti Pengajian Pendidikan. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa penerbitan ilmiah merupakan tonggak utama dalam pengembangan ilmu dan penyebaran maklumat akademik.

“Usaha Fakulti Pengajian Pendidikan ini amat bertepatan dengan matlamat universiti untuk memperkasa budaya penyelidikan serta memperluas jaringan kerjasama akademik di peringkat serantau dan antarabangsa,” ujar beliau sambil merakamkan penghargaan atas komitmen fakulti dalam memperkukuh budaya penerbitan ilmiah di UPM.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar, menegaskan bahawa kejayaan penerbitan jurnal-jurnal ini mencerminkan semangat kerjasama seluruh warga fakulti dalam menjayakan agenda penyelidikan universiti.

“Kejayaan ini merupakan hasil kesungguhan dan komitmen bersama warga fakulti. Sejajar dengan aspirasi True North UPM, fakulti komited memperkasa ekosistem penyelidikan yang berkualiti serta memberi impak positif kepada pembangunan pendidikan negara,” jelas beliau.

Menambah kepada itu, Dr. Faiq Abd Aziz, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pendanaan) yang mengetuai pengurusan jurnal-jurnal ilmiah FPP, menekankan bahawa penerbitan tujuh jurnal ini menjadi bukti kesungguhan fakulti dalam mendukung agenda penyelidikan berkualiti.

“Penerbitan ini bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi simbol komitmen kami untuk membina jaringan ilmiah global, memperkukuh budaya penerbitan dan mengangkat martabat Fakulti Pengajian Pendidikan sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan pendidikan. Selaras dengan moto kami, Leading in Educational Studies, fakulti akan terus melangkah ke hadapan dalam melahirkan pengetahuan baharu yang memberi impak kepada masyarakat,” ujar beliau.

Majlis peluncuran turut diserikan dengan penganjuran Putra Education Forum Series, sebuah platform intelektual yang menghimpunkan ahli akademik, penyelidik dan pengamal pendidikan bagi membincangkan isu-isu semasa serta hala tuju bidang pendidikan.

Forum ini menampilkan beberapa panel jemputan berpengalaman, termasuk Dr. Eviana Hikamudin, S.Pd., M.M, Ketua Program Studi S2 Pedagogik, Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Bandung, yang berkongsi pandangan tentang kepentingan kolaborasi antara institusi pendidikan serantau dalam memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi pendidikan.

Forum berkenaan turut menjadi medan perkongsian ilmu, pandangan dan pengalaman dalam kalangan warga akademik serta memperkukuh budaya penyelidikan dan wacana ilmiah di universiti.

Dengan penerbitan tujuh jurnal ilmiah serta pelaksanaan inisiatif seperti Putra Education Forum Series, Fakulti Pengajian Pendidikan UPM terus komited memperkukuh budaya ilmu, memperluas impak akademik, dan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan pendidikan di Malaysia serta di peringkat antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut serta akses kepada jurnal-jurnal yang diterbitkan oleh Fakulti Pengajian Pendidikan UPM, sila layari: www.educjournal.upm.edu.my (EH)